Thursday, September 25, 2008

Gunung Kinabalu

PEMANDANGAN INDAH .... (u/p:Gambar sungai berlatar belakangkan Gunung Kinabalu ini diambil di Jambatan Gantung Kampung Damat, Tamparuli) Apabila direnung2...ya!benar jugak kan...negeri kita ni memang memiliki keindahan dan keunikan alam semulajadi yang tentunya tidak sama dengan mana-mana tempat di dunia ini. Oleh itu, marilah kita sama2 hargai khazanah alam ini supaya ia terus menjadi identiti kita selama-lamanya selagi masih ada yang menghuni di sini....
*Kandawai - bangga dan gembira kerana lahir, membesar dan akhirnya mewariskan semua ini kepada generasi akan datang(Ogos 08').

Sunday, September 21, 2008

Cerpen/Suniba

Upi Tidak Nangis Lagi...
Eifla Virgin Angel
“Tatkala senja berlabuh petang itu, ketika itulah bermula lembaran baru dalam hidupnya. Yang pasti, mulai saat ini tidak ada lagi tangisan, tiada lagi penderitaan....”
Sebenarnya kisah Upi tidaklah terlalu menarik untuk diceritakan. Tiada apapun yang hebat. Dia sama saja dengan kanak-kanak lain sebayanya. Sebagai anak kecil yang menjangkau usia tujuh tahun, Upi suka bermain, berlari-lari dan memanjat pokok mangga rindang yang ada di halaman rumah. Bergurau dengan adik.
Cuma yang berbeza, walaupun tahun depan Upi sepatutnya sudah bersekolah di tahun satu, pertuturannya sukar difahami. Hatta ibunya Janah. Apatah lagi orang lain.
Kecuali bapanya Diman. Kalau Diman, gerakan tangan Upi sajapun sudah memadai untuk dia memahami maksud anak sulung keluarganya itu.
Oleh kerana kelemahan Upi itu jugalah, Janah menyampah. Bosan melayan karenah anak kecil itu. Ditambah pula pertumbuhan fizikal Upi yang lambat, membuatkannya kelihatan sseolah-olah anak yang baru mencecah umur lima tahun.
Tidaklah demikian ketika dilahirkan. Semasa Upi diambil oleh keluarga Diman sebagai anak angkat, sebelum diberi nama. Ketika pertama kali disambut Janah dalam pangkuannya, Upi seorang bayi comel. Pipi gebu kemerahan dan rambutnya hitam, tebal. Dapat dibayangkan besar nanti anak itu berwajah kacak dan tampan.
Diman dan Janah sudah tiga tahun berkahwin, tetapi belum beroleh rezeki. Pasangan lain, sebulan dua usia perkahwinan sudah menampakkan tanda-tanda bakal menggendong bayi. Itulah sebabnya Diman dan Janah sepakat mengambil anak angkat. Lagi pula, dikhabarkan oleh orang tua-tua, anak angkat bawa rezeki. Setidak-tidaknya rahim akan kembang apabila memelihara anak. Walaupun sekadar anak angkat.
Memang benar agaknya... atau berdasarkan pada pengalaman. Empat bulan selepas Upi dianggap sebagai anak dalam keluarga Diman, Janah mulai memperlihatkan tanda-tanda hamil. Mulanya dia tidak perasan, sangkanya pening-pening dan mual-mual yang dialami akibat tersalah makan.
Hanya, apabila Diman membawanya ke kilinik, barulah diketahui dia sedang mengandung. Senyum Diman dan Janah tak hilang-hilang di bibir. Boleh dikatakan sejak mendapat khabar gembira itu, senyum lebih kerap berbanding bercakap. Bertembung mata pun, senyum. Tergesel tangan antara mereka suami isteri, senyum juga.
Lebih-lebih lagi Diman, tersandung batupun masih boleh senyum. Boleh dikatakan senyuman tak pernah lekang di bibir, sentiasa terukir. Apa saja yang dihadapi tetap senyum. Keceriaan dalam keluarga mereka entah bagaimana lagi hendak digambarkan.
Sementara itu, Upi yang mereka anggap anak pengundang tuah ditatang bagai minyak yang penuh. Sentiasa berada di pangkuan Janah. Ke sana ke mari digendongnya. Kemana sahaja, kalau boleh seakan tidak dibenarkan kaki anak munggil itu memijak tanah.
Begitulah perhatian oleh Janah terhadap Upi. Diman pun tiada kurangnya berbanding Janah. Habis bekerja, tiada lagi masa untuk bersembang dengan rakan-rakan seperti sebelumnya. Kalau dulu, selesai kerja duduk berehat bersama Usin, Sidik, Ramli dan kawan-kawannya yang lain di kantin mamak.
Kerja kontrak membina bangunan sekolah menengah baru di pekan itu memenatkan. Itulah alasan paling tepat untuk memperuntukkan masa duduk sambil minum kopi bersama teman-teman sekerja. Untuk menghilangkan penat sebelum balik rumah masing-masing. Walaupun isteri di rumah sebenarnya sudah menyediakan kopi.
Namun takdir mengubah segalanya. Apabila Upi berusia setahun lebih, dia diserang demam panas. Dibawa berubat ke sana ke mari, ke klinik ke dukun. Kaki kanan Upi kejang, badannya yang kemerahan bertukar pucat. Lalu dibawa lagi oleh Diman dan Janah untuk berubat. Namun tak berhasil disembuhkan. Waktu itu, Janah sudah melahirkan kandungannya. AnaK lelaki, Umar diberi nama.
Sejak itu, perhatian Janah terhadap Upi mulai berubah. Upi yang hanya boleh berbaring tidak lagi dimanja seperti sebelumnya. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Umar. Upi lebih kerap dibiarkan terbaring di ruang tamu. Hanya dijenguk apabila menangis. Disuap makanan atau disusukan. Kasih sayang yang ada untuknya sudah ditumpahkan kepada Umar.
Pada usia tiga tahun, Upi baru boleh berdiri dan melangkah terkatik-katik. Berbanding Umar yang sudah boleh berlari. Jauh sangat bezanya. Janah pula bukan sahaja tidak lagi menyayangi Upi, malah mencubit, memukul dijadikannya cara mengajar apabila Upi berbuat silap.
Pernah sekali Upi jatuh menimpa Umar. Maklumlah cara dia berjalan itu masih seperti kanak-kanak berumur setahun. Kemarahan Janah bukan kepalang. Dipulasnya telinga Upi tanpa perasaan belas. Upi meraung kesakitan, dikuatkan lagi pulasan pada telinga anak itu.
Berlaku juga, Upi koyakkan daun pisang yang disalai oleh Janah untuk membungkus kuih ubi. Betis Upi sampai berbekas dipukulnya. Ketika itupun Upi menangis sampai terkencing kesakitan. Entah apa dalam fikiran ibu muda itu. Mungkinkah kerana Upi itu bukan anak kandungnya maka dia tega melakukannya?
Bukan setakat itu, malah pernah terjadi dimana sampai luka dahi Upi dipukulnya dengan timba. Waktu itu Janah hendak memandikan Umar, Upi pun asyik merengek minta dimandikan sama. Apa lagi, naik anginlah di Janah. Berangnya dah tak dapat nak ditahan lagi.
“Kamu ni! Dimana orang sibuk di situlah engkau mengacau!” Pekik Janah. Pada masa yang sama, timba dihentak ke kepala Upi. Itupun Upi nangis juga. Lama baru Janah membubuh ubat kuning pada luka dahi Upi.
“Itulah, asyik bermain saja kerjanya... sampai jatuh terhantuk tiang,” jawabnya apabila Diman bertanya sekembalinya dari kerja. Diman mengusap-usap kepala Upi. Upi rasa senang. Tidak pula mengadu perkara sebenar. Atau mungkin dia memang tidak mengerti.
Tetapi itu Janah. Bagi Diman, kasih sayangnya terhadap Upi masih tidak berbelah bagi. Baginya Upilah yang telah membawa seri dalam keluarga mereka. Walaupun tidak seperti kanak-kanak lain, Dia tetap menyayangi Upi. Cuma kerana bekerja, masa untuk Diman berada di rumah singkat sekali. Lebih-lebih lagi jika terpaksa kerja lebih masa, dia hanya sampai rumah ketika hampir larut malam. Upi sudah tidur. Umar sudah lena. Janahpun kadang-kala masih dalam igau semasa membukakan pintu untuk Diman.
Itulah sebabnya Diman tidak begitu tahu akan layanan Janah terhadap Upi sepanjang hari. Sangkanya Janah memberikan perhatian yang sama antara Upi dan Umar. Hematnya Upi turut diberi penjagaan sempurna kerana itulah yang dilakukan oleh isterinya itu apabila Diman berada di rumah.
Walaupun kadang-kadang sangsi kerana terdapat lebam-lebam di badan Upi, namun apabila ditanya Janah akan katakan Upi jatuh sendiri ketika bermain di halaman. Atau katanya Upi terlalu nakal membuatkan dia hilang sabar.
“Janah.... walaupun Upi tu bukan anak kandung kita dan tidak seperti kanak-kanak lain, tapi kita perlu jaga dia seperti anak sendiri.” Pernah Diman menegur keterlaluan tindakan isterinya.
“Habis tu, abang sangka saya tak pelihara Upi tu! Tak bagi makan, tak bagi minum!” jawab Janah pula. Jawapan yang membuatkan Diman hanya mampu menggeleng kepala. Maksud Diman bukan begitu, dia hanya berharap isterinya itu tidak selalu membiarkan Upi kerana Upi memerlukan perhatian yang lebih istimewa. Sepatutnya.
Tidak berakhir di situ saja, tengah hari itu kemarahan Janah benar-benar tidak dapat dibendung. Upi jatuhkan periuk berisi nasi. Habis nasi bertaburan atas lantai. Di tangannya memegang piring kosong. Mungkin nasi yang Janah berikan untuk makan tengah hari sebentar tadi tidak cukup. Entah bagaimana pula kuah ikan masak asam tumpah membasahi baju dan seluarnya. Janah yang sedang sedang berbaring di samping Umar bingkas bangun. Meluru ke dapur dan merampas piring pada tangan Upi.
“Anak bodohhhh!!!” jerit Janah. Membuang piring yang dirampasnya dari tangan Upi tadi. Ditariknya rambut Upi menuju ruang tamu. Upi yang hanya pandai bercakap sekerat-sekerat itu lantas menangis. “Mama... mama.... mamaaaa... du... du...,” hanya itu yang terpacul dari mulutnya. Namun teriakan Upi tidak Janah pedulikan. Sesampai di ruang tamu, dihempasnya Upi. Ditinggalkannya sebentar menuju ke dinding dekat pintu bilik. Di situ tersangkut tali pinggang Diman yang sudah berpuluh kali digunakan untuk menyebat Upi.
Melihat Janah mengambil tali pinggang itu, Upi seakan sudah merasa perit dan pedihnya disebat. “Angan mamaaaa.... angan mamaaaa.... du... duuu... duuu...,” teriak Upi sambil menutup punggungnya dengan tangan. Manakala kaki dibengkokkan kerana dua tempat itulah yang sering menjadi tumpuan sebatan Janah. Bagaimanapun lolongannya tidak mampu mengekang kemarahan Janah. Sebatan demi sebatan tetap singgah di tubuhnya. Tidak kena di betis, belakang di libasnya. Upi menggeliat menahan sakit. Tidak mampu bersuara lagi. Yang kedengaran hanya tangisannya yang panjang.
Puas melepaskan geram, Janah berhenti. Menggulung talipinggang itu dalam genggamannya lalu di humbankan ke arah Upi. Umar hanya mampu menonton. Diapun sudah meluat melihat Upi, mungkin terjangkit dengan sikap ibunya.
Petang itu, Diman balik agak awal. Sengaja tidak ambil kerja lebih masa. Dia bercadang ke surau bersama penduduk yang lain untuk mendengar ceramah. Dengar khabar disampaikan oleh seorang ustaz dari bandar.
Tiba di halaman, Diman turun dari basikalnya kemudian menolaknya perlahan lalu disandarkan pada tiang rumah dekat tangga. Memang di sana tempat untuk menyimpan basikalnya itu. Dari dulu tidak pernah dialihkan. Rasanya sejak arwah bapanya lagi. Tiang itulah.
Kemudian Diman naik lalu duduk di pintu merungkai tali kasut. Kaki kanan diangkat dan dipijakkan pada anak tangga. Membongkok dan menanggalkan kasut lusuhnya. Diletakkan pada rak khas yang dibinanya sejak muda. Kemudian membuka kasut pada kaki kiri.
“Janah!” panggilnya. Tiada sahutan. “Janah…,” serunya kali kedua. “Oh abang...,” sahut isterinya dari dalam. Menjenguk ke pintu kemudian berpaling menuju dapur. Kembali semula dengan sebotol air di tangan.
Diman menyambut botol air yang disuakan isterinya. Membuka penutup dan meneguk terus ke mulut. Hampir setengah habis diminumnya. Mungkin bahang matahari yang agak terik hari itu mengeringkan tekaknya. Hening seketika.
“Janah! Mana Upi?” tanyanya setelah tidak melihat kelibat Upi. Biasanya Upilah yang paling peka dengan kepulangannya. Kadangkala dia masih di pintu pagar, Upi sudah berteriak-teriak memanggil atau berlari-lari seadanya menyambut Diman.
Janah tersentak, diapun sudah lupa. Sejak kejadian tengah hari tadi dia langsung tidak tahu Upi sudah ke mana.
“Eh! Sebelum abang sampai baru sebentar tadi dia bermain di bawah,” Janah memberi alasan. “Inilah budak ni, orang terleka saja sudah buat hal,” gerutunya. Sengaja dikuatkan supaya Diman dengar.
“Macam mana ni Janah.... Upipun awak tak larat nak jaga!” Diman pula tekankan suara. Tidak jadi masuk ke rumah. Turun semula dan mencari-cari di bawah kolong. Tiada. Kemudian ke halaman belakang. Tiada juga.
“Upi! Upiii! Papa balik ni!” Diman berharap suaranya menarik perhatian Upi. Sementara Janah di atas rumah mulai gusar. Umar yang sudah pantas berjalan itu sengaja digendongnya. Berharap kegusaran berkurangan.
“Bila lagi Upi turun dari rumah Janah!?” terdengar pertanyaan Diman dari bahagian belakang rumah. Hatinya berbelah bagi hendak dijawab atau bepura-pura tidak dengar.
“Baruuuu saja bang!” tiba-tiba saja jawapan terkeluar dari mulutnya tanpa sengaja. Sedang difikirannya baru hendak menganyam kata.
“Baru tadi! Tapi kenapa tiada di sekeliling rumah???” keras suara Diman. Terkejut Janah, tidak diduga Diman sudah terpacak di pintu depan.
Sejurus selepas itu, terdengar bunyi motosikal menuju halaman. Diman menoleh. Janah mencuri-curi tengok. Rupa-rupanya Deris yang menunggang dan ketua kampung memboncengnya. Wajah Deris nampak kusut tapi ketua kampung kelihatan tenang.
Sebelum Deris tongkatkan motosikalnya, ketua kampung sudah menapak turun. Diman pun berlari anak ke arahnya.
Hanya Janah saja yang masih berdiri tidak berganjak. Persamaannya dengan Diman sekarang ialah di benak mereka berlegar-legar seribu persoalan.
“Diman awak ikut Deris ke hospital sekarang, anak awak Upi dilanggar kereta tengah hari tadi di depan simpang jalan besar,” ketua kampung sudah berbicara sebelum Diman sempat bertanya. Diman rasa macam nak pengsan. Itu belum lagi, Janah pula sudah terduduk mendengar kata ketua kampung.
“Bagaimana keadaannya tok?” tanya Diman. “Entahlah, akupun tak pasti. Jamal yang bagitau aku tadi sebab dia yang ikut menghantar Upi ke hospital dengan menaiki lori pasir yang melanggar Upi kira-kira jam 1.30 tadi,” tambah ketua kampung.
Diman tidak menunggu lama. Dia terus berlari ke rumah. Anak tangga ada yang tidak dipijaknya lagi. Hampir melompat terus ke atas. Janah yang masih terjelepuk di tepi pintu hanya dijelingnya. Umar buat macam tak tau.
Tidak sampai seminit, Diman sudah duduk membonceng di belakang Deris. Tanpa berlengah keduanya beredar. Deruman motosikal kapcai Deris beransur menjauh.
Hilang saja deruman motosikal Deris, esak Janah pula yang terdengar. Di hatinya penuh sesal. Di hatinya mulai sedar. Betapa dia melayan Upi dengan buruk selama ini. Andai ada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku terhadap Upi hari ini, dia akan kesali seumur hidupnya.
Lantas di hatinya dia berdoa memohon keampunan dan kerahiman kiranya Tuhan melindungi Upi dan berjanji akan menjaga Upi sebaiknya nanti. Walau bagaimana sekalipun keadaan Upi dia pasti akan menghiraukannya. Umar dipeluknya erat. Menangis lagi sambil menanti berita seterusnya.
“Dan apapun yang akan berlaku seterusnya, tatkala senja berlabuh pada petang itu, ketika itulah bermula lembaran baru dalam hidup Upi. Yang pasti mulai saat ini tidak akan ada lagi tangisan... tiada lagi penderitaan....”
TAMAT

Wednesday, September 17, 2008



Pemandangan ini tentunya biasa bagi orang lain...tapi bagi saya, ia adalah pemandangan yang menarik kerana pondok itu adalah 'sulap' kami sekeluarga.

sayangnya pemandangan ini sudah tidak kelihatan lagi selain pada gambar sebab, pondok tu sudah kana kasi buka dan tana' tu kana' "Sungal".... yang terbentang di saaaana tu sawah...

Tuesday, September 2, 2008

kawan2...aku bukannya talampau pandai main gitar pun... saja bah ini aku bagaya'2.
tapi minat tu mimang adalah...gitar tu sebenarnya c Baha Tungau punya...waktu kami pi buat kebajikan sambil menyanyi @ koir dengan penghuni Asrama St.James Tenghilan, di Singapura dan Kuala Lumpur indak lama dulu.
hah...tujuannya bukan mintak puji tau... tapi untuk kumpul dana bagi pembinaan asrama budak-budak kiiicil di Kiulu yang terpaksa jalan kaki ampat jam mau pigi sikul setiap hari.... hah! sikarang sudah ada tu asrama, indak payah lagi dorang pulang2 rumah kecuali ujung2 minggu.... ya lah, harap2 setiap perkara baik yang kita lakukan itu mendapat berkat bukan sahaja untuk kita tetapi berkat bagi semua orang.... shallom....
Hai...apa kabar semua.... saja bah mo kasi update ni blog...aku sikarang ndak banyak masa bah... tapi aku tetap cuba memberi yang terbaik...

gambar ni yang macam aku pakai 'gigi amas' ni aku suruh sumandak kuruak snap masa kami singgah dari jalan2 cari makan baru-baru ni....

ayam yang ada dekat aku tu ndak sadar aku basandar sama dia... sakali dia tau'! nah kan sampai pucat bah takajutssss...hahahahahah...koto! apapun aku 'chau' dulu nanti aku masuk balik....