Thursday, December 25, 2008

i wish yuuuuu....


Hah!sekarang ni dah nak hujung tahun dah!ntah yang diidamkan sudah diperolehi atau belum, tapi yang pasti urang bilang indak jugak la 'kampis barait'.
apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan memberi dorongan serta menghargai saya selama ini.
memang bukan mudah tetapi tiada yang mustahil apabila kita benar2 mahu melakukan yang terbaik. hasilnya jugak tentunya 'buli tahan'.
dalam kesempatan ini saya memohon ampun maaf jika ada kesilapan sepanjang tahun lalu dan berusaha untuk memperbaikinya. tidak ada yang sempurna namun saya percaya usaha kita 'ke arah' kesempurnaan itulah yang membuatkan kita disempurnakan.
selamat tahun baru dan semoga semangat Natal yang kita raikan tahun ini memberi 'kelahiran' baru dalam hidup kita di tahun hadapan. salam sayang dari saya....-LP

Monday, December 8, 2008

pada saya....


Aaaahah!gambar saya ni hanyalah untuk kenangan sempena Majlis Anugerah Pertisa (Persatuan Artis Tempatan Sabah) 6 Dis 2008 di Hongkod Koisaan KDCA Penampang.
sebenarnya saya tak menang apapun anugerah (lagipun saya tiada pencalonan...). bagaimanapun sebagai seorang peminat dan penggiat seni di Bumi Kinabalu ini, anugerah berbentuk trofi atau pujian pada saya bukanlah segalanya.
mungkin sesetengah orang menganggap ia sebagai kayu ukur ataupun hidup mati kariernya apabila menang ataupun sebaliknya, tetapi bagi saya ia sebenarnya hanyalah satu permulaan untuk terus membuat yang terbaik.
secara peribadi saya akui, anugerah paling besar yang saya terima adalah kerjasama, komitmen serta kesungguhan yang diberikan oleh sesiapa saja dalam memastikan Pertisa terus maju dalam usaha mencapai objektif penubuhannya.
untuk itu, terima kasih untuk semua....LP

Saturday, November 22, 2008

Ini aku...heheheh....

1. Besyukur sejurus terjaga dari tidur
2. Selalu mahu bangun lewat tapi tak dapat
3. paling tidak suka dengan kesesakan jalan
4. sarapan (biasanya makan berat), biasanya makan hanya 2 x sehari
5. cepat bersiap
6. mahu segera selesaikan tugas dan cepat pulang
7. senang berkongsi dan pendengar yang baik
8. Gemarkan aktiviti berkaitan kesenian
9. tidak selesa apabila berasa terkongkong lebih senang mewujudkan suasana meriah
10. Basuh kaki sebelum tidur....

(okey selebihnya saya catatkan kemudian....)

Wednesday, November 5, 2008

iklan2 dulu ah....

NEWEST ALBUM : VARIASI 2

Nah...VARIASI 2 dengan 14 buah lagu bakal berada di pasaran tidak lama lagi..
Antara artis yang terlibat ialah;
REY (Juara Bintang RTM 2007/ASEAN Golden Voice Festival), Jovita Robert Johnny(Butia Tobulou), Ateng & Jill, James, LP. Raphiel Pinus, Nars, David Pinus, Joanna Roberty Johnny, Jefry Marahum, Patrick Robert Johnny, Boni, Jack, Azis Gintin & Daughter Of God. Untuk perkembangan seterusnya sila layari http://tjcts.blogspot.com/

Thursday, October 30, 2008

David's Songs...

BERKENALAN dengan DAVID PINUS atau (tidak marah kalau kana' panggil si) LAPING, memiliki suara yang lunak dan berjaya membawakan lagu-lagu dengan baik sekali.
Laping adalah seorang lagi artis tempatan Sabah yang telahpun menerbitkan album solo pertamanya.
Artis kelahiran Kampung Lapai, Tenghilan ini juga menyanyikan dua buah lagu ciptaan saya (LP.Ally Raphiel Pinus) dalam album solonya itu.
Sebuah daripada lagu itu "Romitonku id Kasagaan" (Ku terima dengan rela) dapat didengar di blog ini.
Sesiapa yang mahu mendengar lebih lanjut lagu-lagunya atau mau bili album dia boleh pi http://www.davidpinus.com/
"selamat berhibur....."-Kandawai

Sunday, October 12, 2008

PENGAJARAN DI SEBALIK KEMALANGAN ....

YANG cuba ditunjukkan dalam gambar ini bukan semata-mata keajaiban yang dialami pemandu van mini yang hanya mengalami calar pada kepala dan badan selain terkejut apabila van yang dipandunya hampir terbabas dan terbalik beberapa kali pada kemalangan di Jalan Tuaran – Kota Belud, dekat simpang ke Kampung Serusup, Tuaran, baru-baru ini.
Perkara lebih menarik untuk diperkongsikan adalah sifat dan sikap individu lain menangani keadaan dan menghadapi situasi apabila berhadapan perkara sedemikian.
Semasa mangsa yang masih pening-pening lalat dan terkejut duduk di bahu jalan, kelihatan beberapa orang termasuk dua wanita bersaudara yang prihatin dan bersimpati pada mangsa dari Kampung Narinang, Kota Belud membantunya dengan memberi minum, malah memayungi mangsa daripada terik.
Mangsa memberitahu dia memandu seorang diri dalam perjalanan ke arah Kota Belud dari Inanam selepas membayar beberapa bil apabila kemalangan itu berlaku dan semasa saya membawa mangsa ke Hospital Daerah Tuaran, beliau mengaku tidak pasti punca sebenar kemalangan.
Keadaan berbeza setelah tiba di Hospital Daerah Tuaran apabila seorang kakitangan di Bilik Rawatan Kecemasan di situ meminta supaya mangsa didaftarkan terlebih dahulu sedangkan sebelumnya saya telah membawa mangsa ke kaunter pendaftaran, tetapi diarah oleh kakitangan di kaunter terbabit untuk terus ke bilik pemeriksaan.
Situasi ini menimbulkan persoalan apakah ‘birokrasi’ itu lebih penting berbanding memberi rawatan kepada mangsa? Adalah tidak wajar dalam keadaan ini, mangsa yang turut kehilangan dompet berisi semua dokumen dan wang semasa kemalangan itu dibebankan lagi dengan layanan sedemikian.
Dimana silapnya? Sama-samalah kita mengambil ikhtibar. Yang baik jadi teladan yang jahat jadi sempadan.
Kandawai-Dalam gambar kelihatan kereta mangsa yang berada di tengah jalan sementara mangsa kelihatan sedang ditenteramkan oleh beberapa individu prihatin.

Thursday, September 25, 2008

Gunung Kinabalu

PEMANDANGAN INDAH .... (u/p:Gambar sungai berlatar belakangkan Gunung Kinabalu ini diambil di Jambatan Gantung Kampung Damat, Tamparuli) Apabila direnung2...ya!benar jugak kan...negeri kita ni memang memiliki keindahan dan keunikan alam semulajadi yang tentunya tidak sama dengan mana-mana tempat di dunia ini. Oleh itu, marilah kita sama2 hargai khazanah alam ini supaya ia terus menjadi identiti kita selama-lamanya selagi masih ada yang menghuni di sini....
*Kandawai - bangga dan gembira kerana lahir, membesar dan akhirnya mewariskan semua ini kepada generasi akan datang(Ogos 08').

Sunday, September 21, 2008

Cerpen/Suniba

Upi Tidak Nangis Lagi...
Eifla Virgin Angel
“Tatkala senja berlabuh petang itu, ketika itulah bermula lembaran baru dalam hidupnya. Yang pasti, mulai saat ini tidak ada lagi tangisan, tiada lagi penderitaan....”
Sebenarnya kisah Upi tidaklah terlalu menarik untuk diceritakan. Tiada apapun yang hebat. Dia sama saja dengan kanak-kanak lain sebayanya. Sebagai anak kecil yang menjangkau usia tujuh tahun, Upi suka bermain, berlari-lari dan memanjat pokok mangga rindang yang ada di halaman rumah. Bergurau dengan adik.
Cuma yang berbeza, walaupun tahun depan Upi sepatutnya sudah bersekolah di tahun satu, pertuturannya sukar difahami. Hatta ibunya Janah. Apatah lagi orang lain.
Kecuali bapanya Diman. Kalau Diman, gerakan tangan Upi sajapun sudah memadai untuk dia memahami maksud anak sulung keluarganya itu.
Oleh kerana kelemahan Upi itu jugalah, Janah menyampah. Bosan melayan karenah anak kecil itu. Ditambah pula pertumbuhan fizikal Upi yang lambat, membuatkannya kelihatan sseolah-olah anak yang baru mencecah umur lima tahun.
Tidaklah demikian ketika dilahirkan. Semasa Upi diambil oleh keluarga Diman sebagai anak angkat, sebelum diberi nama. Ketika pertama kali disambut Janah dalam pangkuannya, Upi seorang bayi comel. Pipi gebu kemerahan dan rambutnya hitam, tebal. Dapat dibayangkan besar nanti anak itu berwajah kacak dan tampan.
Diman dan Janah sudah tiga tahun berkahwin, tetapi belum beroleh rezeki. Pasangan lain, sebulan dua usia perkahwinan sudah menampakkan tanda-tanda bakal menggendong bayi. Itulah sebabnya Diman dan Janah sepakat mengambil anak angkat. Lagi pula, dikhabarkan oleh orang tua-tua, anak angkat bawa rezeki. Setidak-tidaknya rahim akan kembang apabila memelihara anak. Walaupun sekadar anak angkat.
Memang benar agaknya... atau berdasarkan pada pengalaman. Empat bulan selepas Upi dianggap sebagai anak dalam keluarga Diman, Janah mulai memperlihatkan tanda-tanda hamil. Mulanya dia tidak perasan, sangkanya pening-pening dan mual-mual yang dialami akibat tersalah makan.
Hanya, apabila Diman membawanya ke kilinik, barulah diketahui dia sedang mengandung. Senyum Diman dan Janah tak hilang-hilang di bibir. Boleh dikatakan sejak mendapat khabar gembira itu, senyum lebih kerap berbanding bercakap. Bertembung mata pun, senyum. Tergesel tangan antara mereka suami isteri, senyum juga.
Lebih-lebih lagi Diman, tersandung batupun masih boleh senyum. Boleh dikatakan senyuman tak pernah lekang di bibir, sentiasa terukir. Apa saja yang dihadapi tetap senyum. Keceriaan dalam keluarga mereka entah bagaimana lagi hendak digambarkan.
Sementara itu, Upi yang mereka anggap anak pengundang tuah ditatang bagai minyak yang penuh. Sentiasa berada di pangkuan Janah. Ke sana ke mari digendongnya. Kemana sahaja, kalau boleh seakan tidak dibenarkan kaki anak munggil itu memijak tanah.
Begitulah perhatian oleh Janah terhadap Upi. Diman pun tiada kurangnya berbanding Janah. Habis bekerja, tiada lagi masa untuk bersembang dengan rakan-rakan seperti sebelumnya. Kalau dulu, selesai kerja duduk berehat bersama Usin, Sidik, Ramli dan kawan-kawannya yang lain di kantin mamak.
Kerja kontrak membina bangunan sekolah menengah baru di pekan itu memenatkan. Itulah alasan paling tepat untuk memperuntukkan masa duduk sambil minum kopi bersama teman-teman sekerja. Untuk menghilangkan penat sebelum balik rumah masing-masing. Walaupun isteri di rumah sebenarnya sudah menyediakan kopi.
Namun takdir mengubah segalanya. Apabila Upi berusia setahun lebih, dia diserang demam panas. Dibawa berubat ke sana ke mari, ke klinik ke dukun. Kaki kanan Upi kejang, badannya yang kemerahan bertukar pucat. Lalu dibawa lagi oleh Diman dan Janah untuk berubat. Namun tak berhasil disembuhkan. Waktu itu, Janah sudah melahirkan kandungannya. AnaK lelaki, Umar diberi nama.
Sejak itu, perhatian Janah terhadap Upi mulai berubah. Upi yang hanya boleh berbaring tidak lagi dimanja seperti sebelumnya. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran Umar. Upi lebih kerap dibiarkan terbaring di ruang tamu. Hanya dijenguk apabila menangis. Disuap makanan atau disusukan. Kasih sayang yang ada untuknya sudah ditumpahkan kepada Umar.
Pada usia tiga tahun, Upi baru boleh berdiri dan melangkah terkatik-katik. Berbanding Umar yang sudah boleh berlari. Jauh sangat bezanya. Janah pula bukan sahaja tidak lagi menyayangi Upi, malah mencubit, memukul dijadikannya cara mengajar apabila Upi berbuat silap.
Pernah sekali Upi jatuh menimpa Umar. Maklumlah cara dia berjalan itu masih seperti kanak-kanak berumur setahun. Kemarahan Janah bukan kepalang. Dipulasnya telinga Upi tanpa perasaan belas. Upi meraung kesakitan, dikuatkan lagi pulasan pada telinga anak itu.
Berlaku juga, Upi koyakkan daun pisang yang disalai oleh Janah untuk membungkus kuih ubi. Betis Upi sampai berbekas dipukulnya. Ketika itupun Upi menangis sampai terkencing kesakitan. Entah apa dalam fikiran ibu muda itu. Mungkinkah kerana Upi itu bukan anak kandungnya maka dia tega melakukannya?
Bukan setakat itu, malah pernah terjadi dimana sampai luka dahi Upi dipukulnya dengan timba. Waktu itu Janah hendak memandikan Umar, Upi pun asyik merengek minta dimandikan sama. Apa lagi, naik anginlah di Janah. Berangnya dah tak dapat nak ditahan lagi.
“Kamu ni! Dimana orang sibuk di situlah engkau mengacau!” Pekik Janah. Pada masa yang sama, timba dihentak ke kepala Upi. Itupun Upi nangis juga. Lama baru Janah membubuh ubat kuning pada luka dahi Upi.
“Itulah, asyik bermain saja kerjanya... sampai jatuh terhantuk tiang,” jawabnya apabila Diman bertanya sekembalinya dari kerja. Diman mengusap-usap kepala Upi. Upi rasa senang. Tidak pula mengadu perkara sebenar. Atau mungkin dia memang tidak mengerti.
Tetapi itu Janah. Bagi Diman, kasih sayangnya terhadap Upi masih tidak berbelah bagi. Baginya Upilah yang telah membawa seri dalam keluarga mereka. Walaupun tidak seperti kanak-kanak lain, Dia tetap menyayangi Upi. Cuma kerana bekerja, masa untuk Diman berada di rumah singkat sekali. Lebih-lebih lagi jika terpaksa kerja lebih masa, dia hanya sampai rumah ketika hampir larut malam. Upi sudah tidur. Umar sudah lena. Janahpun kadang-kala masih dalam igau semasa membukakan pintu untuk Diman.
Itulah sebabnya Diman tidak begitu tahu akan layanan Janah terhadap Upi sepanjang hari. Sangkanya Janah memberikan perhatian yang sama antara Upi dan Umar. Hematnya Upi turut diberi penjagaan sempurna kerana itulah yang dilakukan oleh isterinya itu apabila Diman berada di rumah.
Walaupun kadang-kadang sangsi kerana terdapat lebam-lebam di badan Upi, namun apabila ditanya Janah akan katakan Upi jatuh sendiri ketika bermain di halaman. Atau katanya Upi terlalu nakal membuatkan dia hilang sabar.
“Janah.... walaupun Upi tu bukan anak kandung kita dan tidak seperti kanak-kanak lain, tapi kita perlu jaga dia seperti anak sendiri.” Pernah Diman menegur keterlaluan tindakan isterinya.
“Habis tu, abang sangka saya tak pelihara Upi tu! Tak bagi makan, tak bagi minum!” jawab Janah pula. Jawapan yang membuatkan Diman hanya mampu menggeleng kepala. Maksud Diman bukan begitu, dia hanya berharap isterinya itu tidak selalu membiarkan Upi kerana Upi memerlukan perhatian yang lebih istimewa. Sepatutnya.
Tidak berakhir di situ saja, tengah hari itu kemarahan Janah benar-benar tidak dapat dibendung. Upi jatuhkan periuk berisi nasi. Habis nasi bertaburan atas lantai. Di tangannya memegang piring kosong. Mungkin nasi yang Janah berikan untuk makan tengah hari sebentar tadi tidak cukup. Entah bagaimana pula kuah ikan masak asam tumpah membasahi baju dan seluarnya. Janah yang sedang sedang berbaring di samping Umar bingkas bangun. Meluru ke dapur dan merampas piring pada tangan Upi.
“Anak bodohhhh!!!” jerit Janah. Membuang piring yang dirampasnya dari tangan Upi tadi. Ditariknya rambut Upi menuju ruang tamu. Upi yang hanya pandai bercakap sekerat-sekerat itu lantas menangis. “Mama... mama.... mamaaaa... du... du...,” hanya itu yang terpacul dari mulutnya. Namun teriakan Upi tidak Janah pedulikan. Sesampai di ruang tamu, dihempasnya Upi. Ditinggalkannya sebentar menuju ke dinding dekat pintu bilik. Di situ tersangkut tali pinggang Diman yang sudah berpuluh kali digunakan untuk menyebat Upi.
Melihat Janah mengambil tali pinggang itu, Upi seakan sudah merasa perit dan pedihnya disebat. “Angan mamaaaa.... angan mamaaaa.... du... duuu... duuu...,” teriak Upi sambil menutup punggungnya dengan tangan. Manakala kaki dibengkokkan kerana dua tempat itulah yang sering menjadi tumpuan sebatan Janah. Bagaimanapun lolongannya tidak mampu mengekang kemarahan Janah. Sebatan demi sebatan tetap singgah di tubuhnya. Tidak kena di betis, belakang di libasnya. Upi menggeliat menahan sakit. Tidak mampu bersuara lagi. Yang kedengaran hanya tangisannya yang panjang.
Puas melepaskan geram, Janah berhenti. Menggulung talipinggang itu dalam genggamannya lalu di humbankan ke arah Upi. Umar hanya mampu menonton. Diapun sudah meluat melihat Upi, mungkin terjangkit dengan sikap ibunya.
Petang itu, Diman balik agak awal. Sengaja tidak ambil kerja lebih masa. Dia bercadang ke surau bersama penduduk yang lain untuk mendengar ceramah. Dengar khabar disampaikan oleh seorang ustaz dari bandar.
Tiba di halaman, Diman turun dari basikalnya kemudian menolaknya perlahan lalu disandarkan pada tiang rumah dekat tangga. Memang di sana tempat untuk menyimpan basikalnya itu. Dari dulu tidak pernah dialihkan. Rasanya sejak arwah bapanya lagi. Tiang itulah.
Kemudian Diman naik lalu duduk di pintu merungkai tali kasut. Kaki kanan diangkat dan dipijakkan pada anak tangga. Membongkok dan menanggalkan kasut lusuhnya. Diletakkan pada rak khas yang dibinanya sejak muda. Kemudian membuka kasut pada kaki kiri.
“Janah!” panggilnya. Tiada sahutan. “Janah…,” serunya kali kedua. “Oh abang...,” sahut isterinya dari dalam. Menjenguk ke pintu kemudian berpaling menuju dapur. Kembali semula dengan sebotol air di tangan.
Diman menyambut botol air yang disuakan isterinya. Membuka penutup dan meneguk terus ke mulut. Hampir setengah habis diminumnya. Mungkin bahang matahari yang agak terik hari itu mengeringkan tekaknya. Hening seketika.
“Janah! Mana Upi?” tanyanya setelah tidak melihat kelibat Upi. Biasanya Upilah yang paling peka dengan kepulangannya. Kadangkala dia masih di pintu pagar, Upi sudah berteriak-teriak memanggil atau berlari-lari seadanya menyambut Diman.
Janah tersentak, diapun sudah lupa. Sejak kejadian tengah hari tadi dia langsung tidak tahu Upi sudah ke mana.
“Eh! Sebelum abang sampai baru sebentar tadi dia bermain di bawah,” Janah memberi alasan. “Inilah budak ni, orang terleka saja sudah buat hal,” gerutunya. Sengaja dikuatkan supaya Diman dengar.
“Macam mana ni Janah.... Upipun awak tak larat nak jaga!” Diman pula tekankan suara. Tidak jadi masuk ke rumah. Turun semula dan mencari-cari di bawah kolong. Tiada. Kemudian ke halaman belakang. Tiada juga.
“Upi! Upiii! Papa balik ni!” Diman berharap suaranya menarik perhatian Upi. Sementara Janah di atas rumah mulai gusar. Umar yang sudah pantas berjalan itu sengaja digendongnya. Berharap kegusaran berkurangan.
“Bila lagi Upi turun dari rumah Janah!?” terdengar pertanyaan Diman dari bahagian belakang rumah. Hatinya berbelah bagi hendak dijawab atau bepura-pura tidak dengar.
“Baruuuu saja bang!” tiba-tiba saja jawapan terkeluar dari mulutnya tanpa sengaja. Sedang difikirannya baru hendak menganyam kata.
“Baru tadi! Tapi kenapa tiada di sekeliling rumah???” keras suara Diman. Terkejut Janah, tidak diduga Diman sudah terpacak di pintu depan.
Sejurus selepas itu, terdengar bunyi motosikal menuju halaman. Diman menoleh. Janah mencuri-curi tengok. Rupa-rupanya Deris yang menunggang dan ketua kampung memboncengnya. Wajah Deris nampak kusut tapi ketua kampung kelihatan tenang.
Sebelum Deris tongkatkan motosikalnya, ketua kampung sudah menapak turun. Diman pun berlari anak ke arahnya.
Hanya Janah saja yang masih berdiri tidak berganjak. Persamaannya dengan Diman sekarang ialah di benak mereka berlegar-legar seribu persoalan.
“Diman awak ikut Deris ke hospital sekarang, anak awak Upi dilanggar kereta tengah hari tadi di depan simpang jalan besar,” ketua kampung sudah berbicara sebelum Diman sempat bertanya. Diman rasa macam nak pengsan. Itu belum lagi, Janah pula sudah terduduk mendengar kata ketua kampung.
“Bagaimana keadaannya tok?” tanya Diman. “Entahlah, akupun tak pasti. Jamal yang bagitau aku tadi sebab dia yang ikut menghantar Upi ke hospital dengan menaiki lori pasir yang melanggar Upi kira-kira jam 1.30 tadi,” tambah ketua kampung.
Diman tidak menunggu lama. Dia terus berlari ke rumah. Anak tangga ada yang tidak dipijaknya lagi. Hampir melompat terus ke atas. Janah yang masih terjelepuk di tepi pintu hanya dijelingnya. Umar buat macam tak tau.
Tidak sampai seminit, Diman sudah duduk membonceng di belakang Deris. Tanpa berlengah keduanya beredar. Deruman motosikal kapcai Deris beransur menjauh.
Hilang saja deruman motosikal Deris, esak Janah pula yang terdengar. Di hatinya penuh sesal. Di hatinya mulai sedar. Betapa dia melayan Upi dengan buruk selama ini. Andai ada apa-apa kejadian tidak diingini berlaku terhadap Upi hari ini, dia akan kesali seumur hidupnya.
Lantas di hatinya dia berdoa memohon keampunan dan kerahiman kiranya Tuhan melindungi Upi dan berjanji akan menjaga Upi sebaiknya nanti. Walau bagaimana sekalipun keadaan Upi dia pasti akan menghiraukannya. Umar dipeluknya erat. Menangis lagi sambil menanti berita seterusnya.
“Dan apapun yang akan berlaku seterusnya, tatkala senja berlabuh pada petang itu, ketika itulah bermula lembaran baru dalam hidup Upi. Yang pasti mulai saat ini tidak akan ada lagi tangisan... tiada lagi penderitaan....”
TAMAT

Wednesday, September 17, 2008



Pemandangan ini tentunya biasa bagi orang lain...tapi bagi saya, ia adalah pemandangan yang menarik kerana pondok itu adalah 'sulap' kami sekeluarga.

sayangnya pemandangan ini sudah tidak kelihatan lagi selain pada gambar sebab, pondok tu sudah kana kasi buka dan tana' tu kana' "Sungal".... yang terbentang di saaaana tu sawah...

Tuesday, September 2, 2008

kawan2...aku bukannya talampau pandai main gitar pun... saja bah ini aku bagaya'2.
tapi minat tu mimang adalah...gitar tu sebenarnya c Baha Tungau punya...waktu kami pi buat kebajikan sambil menyanyi @ koir dengan penghuni Asrama St.James Tenghilan, di Singapura dan Kuala Lumpur indak lama dulu.
hah...tujuannya bukan mintak puji tau... tapi untuk kumpul dana bagi pembinaan asrama budak-budak kiiicil di Kiulu yang terpaksa jalan kaki ampat jam mau pigi sikul setiap hari.... hah! sikarang sudah ada tu asrama, indak payah lagi dorang pulang2 rumah kecuali ujung2 minggu.... ya lah, harap2 setiap perkara baik yang kita lakukan itu mendapat berkat bukan sahaja untuk kita tetapi berkat bagi semua orang.... shallom....
Hai...apa kabar semua.... saja bah mo kasi update ni blog...aku sikarang ndak banyak masa bah... tapi aku tetap cuba memberi yang terbaik...

gambar ni yang macam aku pakai 'gigi amas' ni aku suruh sumandak kuruak snap masa kami singgah dari jalan2 cari makan baru-baru ni....

ayam yang ada dekat aku tu ndak sadar aku basandar sama dia... sakali dia tau'! nah kan sampai pucat bah takajutssss...hahahahahah...koto! apapun aku 'chau' dulu nanti aku masuk balik....

Thursday, August 21, 2008

DJ Othoe


LIMA hari seminggu, dari Isnin sehingga Jumaat bermula jam 6am hingga 10am, sekiranya anda mendengar siaran Suriafm 105.90 anda akan mendengar celoteh ke'Sabah'an kawan kita ni.
Walaupun masih terlalu baru dalam bidang pend'DJ'an radio, pengalamannya berhadapan dengan masyarakat sebagai juruacara bebas sebelum ini banyak membantunya sehingga seakan tidak janggal mendengarkan 'luyar' dia tu.
Bukan memuji, setakat menyatakan kebanggaan kerana dia berani membuat sesuatu yang baru khususnya dalam penyampaian.
Untuk itu tidak rugi rasanya kita memberikan si 'Othoe' ini sokongan lebih-lebih lagi kebanyakan lagu yang disiarkan adalah lagu-lagu tempatan Sabah terdiri daripada pelbagai bahasa yang ada di Bumi Kinabalu.
Untuk lebih mengenalinya, dingarlah Suria Pagi Kinabalu 'Hidup Pasti Rancak!' (urang bilang indak kanal maka indak sinta'....)

Tuesday, August 12, 2008

"Tompukirik-kirik?"

Sebenarnya ada ramai orang tanya...apa makna 'tompukirik-kirik'. Ramai juga yang memberikan pelbagai tafsiran...sebenarnya akupun ndak tau camana mau kasi tau korang....
sebab lagu ni...lagu untuk ramai-ramai....tapi yang paling dekat, ada satu tumbuhan yang diberi nama "kurunggu'" oleh sesetengah kaum...pokoknya rendah seperti kekacang dan buahnya pulak macam buah kacang panjang (tapi dia pindik), kalu sudah kering (nokupang) warna dia cokolat-cokolat....

yang uniknya, bila buah dia terbuai-buai ditiup angin, biji di dalamnyapun bobunyi' "ngirik-ngirik" seperti balagu' (manyanyi)...hah itu lah tu....(kecuali ada lain lagi, aku ndak tau la...hahahahahahI)

Wednesday, August 6, 2008

Suniba' lagi....

ini cerpen bikin saya bangga sebab walaupun 'gila' tapi manang juga anugerah genre cerpen oleh DBP....syukur juga lah...kamurang mau baca?silakan....

Gila
Oleh: Eifla Virgin Angel

“Ah Piau!!” Terdengar seperti namanya dipanggil. Tergendala sebentar keligatan tangannya menguis sisa makanan dalam tong sampah di belakang kedai makan itu. Dia menoleh, ke kiri kemudian kanan. Lalu ke atas, hanya kelihatan awan putih kelabu bercampur asap di celah bumbung bangunan batu itu. Tiada seorangpun yang dia pasti memanggil namanya sebentar tadi.

“Ah! Biarkan saja…,” bisiknya perlahan. Atau lebih tepat hanya dalam hati. Dia memang sudah biasa dengan keadaan seperti itu. Malah kadangkala dia terdengar orang ketawa, menangis, berbual-bual malah ada ketikanya suara seperti orang marah. Entah sejak bila telinganya terlalu peka. Peka pada suara-suara yang tak bertuan. Dia membiarkan suara itu berlalu bersama udara pagi yang sepoi. Dia tahu pasti terngiang lagi. Pedulikan…. Kerja menyelongkar tong sampah disambung. Memilih pelbagai jenis makanan dalam tong sampah plastik di situ.

Tangannya teraba sesuatu. Tangannya dimasukkan lebih dalam. Hah! Dia mencapainya. Seketul peha ayam yang masih terlekat isi berlendir. Entah sudah berapa lama dimasukkan ke dalam tong sampah. Diangkat, lalu diamatinya. Dia tersenyum. Dihidunya… Emmmm, masih menyelerakan walaupun agak hanyir. Dalam keadaan lapar seperti sekarang ini, apa jenis makanan pun ‘go a head’ saja.

Bagi Ah Piau, makanan bukan masalah utama. Di bandaraya ini, berlambak makanan yang dibazirkan oleh orang-orang boros, yang tidak tahu berjimat. Itu pada hematnya. Oleh itu daripada terbuang begitu saja, dia berasa berbudi apabila memakan sisa-sisa makanan yang terdapat di tong sampah. Baginya itu adalah hidangan terbaik. Nak kata sedap, memang tak sesedap dan seharum ketika ia masih panas berwap. Tetapi memadailah baginya sebab tak perlu dibeli. Tak perlu meyeluk kocek yang sememangnya kosong. Segala-galanya percuma.

Dia manalah punya wang untuk membayar makanan yang serba mahal di kedai-kedai makan. Kerana itu, dia serasi dengan sisa-sisa makanan yang selain pelbagai jenis, boleh memakannya sampai perut sendat.

Ah Piau memamah peha ayam yang diperolehinya itu dengan lahap. Tiada yang tinggal. Tulangnya pun hancur. Tangannya yang terpalit cairan kekuningan dari tong sampah itupun dijilatnya sampai ke siku. Mencari-cari lagi. Tetapi yang dia temui hanyalah mee berbagai saiz yang kelihatan lesi. Sudah tidak serupa mee. Ada yang kembang terendam air tuangan dari dapur. Mungkin juga air pencuci tangan. Ada pula yang sudah hancur sampai tak dapat dipegang lagi. Kalau digenggam melancit dari celah jari.

Setelah berpuas hati tiada lagi makanan yang terkandung di dalam tong sampah itu, dia berdiri. Menegakkan badannya. Kemudian mengesat misainya yang jarang. Tumbuh tak teratur di atas bibirnya yang kehitaman. Ah Piau berasa kurang selesa dengan keketatan seluarnya lalu melonggarkan ikatan tali rapia pada pinggang seluar. Mengejapkannya semula. Kekejapan diuji. Ditariknya seluar ke bawah. Hah! Dah tak londeh. Maknanya memang sudah ketat. Berpuas hati.

Kemudian Ah Piau mengatur langkah. Beredar mencari sumber lain. Kelihatan sebuah tong sampah lain tidak jauh dari situ. Betul-betul di hujung bangunan sederet itu. Walau terdapat tong sampah namun di sekeliling tong sampah itu banyak longgokan sampah. Ulah mereka yang tidak bertanggungjawab. Sama ada si pembuang ataupun si petugas memungut sampah itu yang tidak prihatin terhadap kebersihan. Dia bergegas ke arah tong sampah besi yang sudah kuning berkarat itu. Tidak tahu sudah berapa tua usianya. Entah berapa lama ia tersidai dan berhujan di situ. Tong sampah manalah pandai berpayung, Ah Piau tahu sangat akan hal itu. Dia tersenyum membayangkan rezeki yang bakal ditemuinya dalam tong sampah itu. Baginya ia bagaikan jelapang. Tempat segala sumber makanan dan juga keperluan.

Tatkala hampir tiba di tong sampah itu, kegirangannya bertukar menjadi kecewa. Dua tiga ekor anjing liar sudah mendahuluinya. Hatinya geram tetapi tidak marah. Dia tahu anjing itu juga sepertinya. Tak mampu membeli. Oleh itu, apa salahnya mereka berkongsi makanan? Dia tersenyum melihat gelagat anjing-anjing itu. Ketawa dan terus ketawa. Anjing berwarna hitam kehairanan melihatnya terbahak-bahak.

“Hah! Makan… makan…,” katanya kepada anjing-anjing itu. Anjing yang kelabu asap menoleh ke arah Ah Piau. Menyeringai menunjukkan giginya yang kehitaman dan tumpul. Giginya yang rata bagaikan gigi kerbau tua itu langsung tidak menimbulkan rasa takut. Apatah lagi untuk berasa ngeri, tiada alasan langsung untuk berbuat demikian.

“Hei!! Aku bagi korang peluang nak marah aku pulak!” darahnya naik ke kepala. Berangnya memuncak. Beberapa orang yang lalu di situ tersentak. Menyangka mereka menjadi punca kemarahan Ah Piau. Ada yang cepat-cepat berlalu. Ada juga yang menjauhkan diri. Ada pula yang memerhatikan gelagat lelaki umuran 50an itu yang kelihatan 15 atau 20 tahun lebih tua daripada usia sebenar. Telatah orang tua tak terurus itu menjadi menarik perhatian mereka yang lalu lalang.

Memang begitulah Ah Piau, ada ketikanya dia terlalu sensitif. Mudah marah dan ada pula masanya dia mudah tersentuh sampai menitiskan air mata. Kalau tiba masanya perasaan sayu itu datang, dia tanpa segan silu akan menangis. Sama ada berlutut, mendongak atau menundukkan kepala dia pasti melepaskan hibanya. Terus menangis sampai kering air matapun raungannya belum reda. Malahan sebaknya itu terkadang sampai terlanjur bersilih ganti dengan tawa. Tak dipedulikan siapapun yang lalu di hadapan, belakang atau di sisi.

“Gila!” Gerutu seorang daripada mereka yang menyusuri lorong berkenaan pada pagi Ahad yang cerah itu.

“Gila..?” Telinga Ah Piau sempat menangkap ungkapan itu. Hendak ditengkingnya lelaki muda itu. Ingin dibentaknya. Memberitahu dia juga punyai perasaan. Kalau boleh mahu di hantukkan kepala orang muda tak tahu hormat orang tua itu. Nak disumbatkan pemuda itu ke dalam longkang. Untung saja dia sudah menjauh.

Ah Piau tahu, ramai orang yang mengatakannya gila. Tersinggung juga hatinya. Pedih bagai ditusuk sembilu. Dihiris, dilapah dengan mata pedang ‘Zorro’. Mengapa pula orang menuduhnya gila? Bagi dirinya sendiri, dia tidak gila. Tidak pernah berasa gila. Malah ramai orang yang lebih gila daripadanya.

Sebagai contoh, isterinya. Kerana gilakan pelakon Bollywood, Shah Rukh Khan, isterinya sanggup lari bersama seorang pemuda Bangla yang kebetulan iras-iras wajah tampan pelakon pujaan ramai itu. Yang lebih gila, pemuda asing berusia lingkungan 20an tahun itu yang sanggup menjadi kekasih perempuan berumur hampir setengah abad.

“Gila! Betul-betul gila!!” dengusnya. Menggelengkan kepala. Sekali lagi menjadi perhatian orang yang lalu lalang.

Mengingati kembali peristiwa dimana dia kehilangan segalanya. Kepercayaan diri, keyakinan, tujuan hidup, keluarga, isteri dan harta. Semuanya berpunca daripada kegilaan. Kegilaan manusia. Gila! Gila! Gila!!!

Disebabkan gila wang, rakan seperniagaannya sanggup menipu Ah Piau. Sehingga dia muflis. Kereta besarnya terjual. Rumah banglonya terlelong. Tanah dan kilangnya bertukar pemilik. Semua itu kerana kegilaan…. Manusia gila!

Habis kenapa pula orang menuduhnya yang gila? Tidakkah mereka tahu bahawa dia waras? Masih siuman. Tidak seperti orang lain, dia tidak pernah meminta sedekah meskipun tak punya wang. Kecuali menerima jika ada individu pemurah yang menghulurkan sekeping dua duit syiling. Kalau ada yang hulurkan wang berbentuk not dia akan berikan senyuman sebagai tanda terima kasih. Bukan seperti orang lain yang tak tahu mengenang budi. Maknanya dia lebih baik daripada semua orang yang bersifat tamak, bernafsu buaya atau berselera kerbau.

Tapi takkanlah kerana itu orang menuduhnya sebagai gila. Dia juga sihat, malah lebih sihat daripada orang lain. Dia makan sisa makanan daripada tong sampah tetapi tak pernah sakit perut kecuali senak-senak biasa. Itupun seingatnya, dia tidak pernah sekalipun ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Cuma pernah sekali dia dihantar ke hospital sakit jiwa. Itu bukan kerana penyakit memakan lebihan makanan orang lain. Itu disebabkan oleh tekanan perasaan yang dihidapinya akibat kegilaan isteri, kawan dan orang-orang yang dahulu amat dipercayainya.

Kalau nak dibandingkan dengannya, orang lain juga pernah sakit. Malah ada yang sakit bagai nak mampus. Lemah jantung, tinggi darah, barah paru-paru, buah pinggang, kecing manis dan banyak lagi. Tapi tak pula dituduh gila.

“Gila! Semua manusia selain aku gila!!!” dia mendengus lagi. Ketawa terbahak-bahak kemudian senyap. Wajahnya berubah merah padam. Diam. Sayu di hati cuba bertandang namun ditentangnya. Cuba memikirkan sesuatu yang manis. Namun tiada kenangan manis yang sudi menjengah ke ingatannya. Kemurungan memancar pada wajah berkedutnya, muram….

Tiba-tiba fikirannya yang menerawang jauh mengingati kegilaan manusia terhenti. Deraman anjing tua berwarna hitam mematikan keligatan otaknya mengolah bayangan. Ah Piau menjegilkan mata ke arah kumpulan anjing yang seakan hendak berperang lagaknya itu. Berharap anjing-anjing itu akan faham maksudnya. Malang, kawanan anjing itu langsung tidak mempedulikan kehadiran Ah Piau apatah lagi jegilan matanya yang hampir tersembul itu. Merasakan dirinya tak berwibawa di hadapan anjing-anjing itu, dia menjadi geram.

“Hei anjing!!” tengkingnya kepada kumpulan anjing yang asyik berebut makanan, “kamupun gila! Itu makanan kita semua yang punya,” katanya mengunjukkan puntungan beruti 2” x 3” sepanjang satu meter yang sentiasa dibawanya ke arah anjing-anjing itu. Yang kelabu asap terlompat terperanjat. Hilang sekejap seleranya yang tadi mengelodak. Yang lain-lain turut terundur kecuali anjing jantan berwarna hitam. Ia tetap membaham dengan lahap. Degil ataupun sengaja pekakkan telinga. Macam anak-anak yang tidak mahu mendengar nasihat orang tua.

Fikiran Ah Piau melayang lagi. Kalau nak dituduh gila, banyak generasi muda sekarang ini lebih gila. Berpeleseran tak tentu arah. Tinggal dimana saja mereka suka. Walhal ada di kalangan mereka itu anak orang berada. Ibubapa ahli korporat, perniagaan. Tidak kurang juga anak orang-orang ternama tetapi disebabkan tak makan ajar, ramai yang tinggal di lorong-lorong sempit di bandar raya itu. Menyuntik diri dengan dadah, menyedut asap dadah malah menelan pil, entah apa-apa jenis dadah. Lepas itu ketawa beramai-ramai. Remaja lelaki, wanita tak segan silu melakukan perkara sumbang apabila dibuai keasyikan bahana ubat durjana yang mereka agungkan itu.

Hah! Itu juga satu contoh betapa gilanya manusia lain. Satu kemenangan dirasakannya jika membandingkan diri. Alasan kukuh membuktikan bahawa dia tidak segila orang lain. Bagi Ah Piau, kalaulah dia yang mempunyai segala kemewahan atau hidup senang sekarang ini, dia tidak akan merayau bagai tak berumah. Tapi hakikatnya dia kini tidak memiliki semua itu. Sudah dirampas oleh manusia-manusia gila. Jangankan menagih dadah, menyentuhnyapun Ah Piau tidak tega melakukan. Walaupun akhir-akhir ini dia mulai menghisap rokok. Tapi bukan dibelinya. Dia belajarpun dengan mengambil alih puntungan rokok orang lain. Mulanya dia memang tak merokok. Tapi ramai orang yang baru setengah batang dihisap sudah membuangnya. Timbul pula rasa bertanggungjawab Ah Piau supaya rokok-rokok yang menjadi pengukur taraf si perokok berdasarkan jenama itu tidak terbuang begitu saja. Rokok ‘second hand’ yang hanyir basah dek air liur orang lain itu diselitkan juga di celah bibir. Nah! Sekarang ini, di telinganya kiri kanan sentiasa terselit ‘stok’ menunjukkan betapa banyaknya yang dibazirkan oleh warga perokok yang sudah jatuh gila dengan punca segala barah paru-paru dan tenggorok itu.

Anjing-anjing yang tadinya mengisi perut sudah lama beredar apabila Ah Piau sedar bahawa hanya dia yang tercegat di situ. Sampah berselerak di merata tempat. Ah Piau menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak setuju dengan sikap anjing-anjing yang tidak bertanggungjawab itu. Hanya pandai menyelongkar tapi bodoh menyusun. Bagaimanapun apa yang hendak dihairankan? Mereka kan anjing yang sudah fitrahnya lahir sebagai binatang. Bukannya seperti manusia yang dianugerahkan otak fikiran tetapi ramai yang tidak memanfaatkannya.

Ah Piau lantas mencangkung. Menguis-nguis sampah-sampah yang berterabur itu dengan kayu berutinya. Mengumpulkan pada satu tempat supaya lebih senang dipungut oleh pekerja bandaraya kelak. Dia tersenyum sendirian. Kalau dia gila takkan dia terfikir untuk melaksanakan tanggungjawabnya sebagai masyarakat prihatin. Jangan salahkan anjing-anjing itu kerana ‘kebinatangannya’. Anjing itu binatang, dia manusia. Manusia memang berbeza dengan binatang.

Namun, apabila dicongak-congak, memang tidak dinafikan ramai juga manusia bersifat malah bersikap binatang di dunia ini. Mereka membelakangkan status manusia itu apabila terperangkap dalam kegilaan. Kerana gilakan sesuatu mereka bertindak lebih teruk daripada makhluk yang memang lahir sebagai binatang. Jika tidak tentu tak akan timbul perumpamaan “habis manis sepah dibuang” ataupun “Kacang lupakan kulit” atau cerita “Si Tanggang” dan banyak lagi alkisah yang menunjukkan sikap biadap dan gila manusia di muka bumi ini.

Dulu Ah Piau ada seorang kawan yang ‘gila’. Gila pada gadis-gadis muda. Sanggup berbelanja lebih semata-mata menunaikan kegilaannya itu. Si gadis pula, kerana gilakan wang ringgit sanggup menyerahkan diri menjadi wanita simpanan kawannya yang bergelar ‘Datuk’ itu. Namun setelah memperolehi apa yang diingini, wanita muda itu mencari ‘Datuk’ yang lain pula untuk menggenapkan kegilaan materialistiknya. Si Datuk pun bukan calang-calang juga. Silih berganti gadis muda yang berlindung di bawah ketiak masamnya. Apa tidak? Orang berwang katakan…. Mana yang dah tak bergetah tu, ditinggalkan. Mencari lagi mangsa yang baru, yang lebih manis. Yang masih ‘fresh’. Itu baru kawan ‘gila’ nya yang satu. Kalau nak disebutkan memang tak terhitung dengan jari walaupun dibilang termasuk jari kaki. Ramai….sungguh ramai.

Matahari semakin terik. Panasnya sampai meleleh peluh di seluruh badan Ah Piau. Bajunya basah dek peluh masin. Langsung meluaplah aroma yang sukar dibayangkan keharumannya. Bagi orang lain mungkin bau yang memuakkan tapi Ah Piau dah biasa dengan bau badannya sendiri. Dia manalah berkesempatan menggunakan perfume, atau berbaju baru, atau mandi dua kali sehari. Niatnya memang ada, memang membuak namun keadaannya yang tidak memungkinkan dia melaksanakan semua itu.

Tapi apa nak dikesalkan. Sudah nasib demikian miliknya. Orang lain mungkin mandi sampai dua tiga kali sehari tetapi tetap bermandi dosa. Dia lebih baik. Orang lain mungkin menggunakan dua tiga jenis minyak wangi, tapi hati tetap busuk. Hah! Sekali lagi dia lebih baik. Jadi kalau dia lebih baik daripada mereka itu, maknanya dia juga lebih waras daripada mereka semua. Dia hanya hidup sederhana dengan apa yang dia ada. Tak perlu memanjat tembok, terjun bangunan, keliling dunia, berbini banyak semata-mata kerana gilakan nama. Gilakan gelaran, gilakan tempat di buku ‘Guinnes of Record’.

Ah Piau tersenyum memikirkan keadaan warasnya berbanding orang lain. Melihat-lihat kalau-kalau ada orang yang lalu di situ. Tetapi tiada. Hanya sekadar seorang dua yang kebetulan melewati laluan itu. Diteruskannya kerja tanpa gaji dengan sukarela itu.

Semakin lama, lorong itu semakin lengang. Mungkin kebanyakan orang sudah ke pusat membeli belah atau panggung wayang. Atau masing-masing dengan urusan mereka sendiri. Seperti Ah Piau juga, dia punya agenda tersendiri meskipun ramai yang tidak faham atau tidak mahu memahami yang tersirat di lubuk hatinya. Perasaannya….

Selesai kerja melonggokkan semula sampah yang disepahkan oleh anjing-anjing sebentar tadi, Ah Piau bangkit berdiri. Sekali lagi meluruskan badannya. Memutar-mutarkan badan ke kiri dan ke kanan. Terdengar derapan tulang belakangnya. Membengkokkan badan ke hadapan. Tegak lagi, membongkok lagi dan tegak.

Ah! Sudah tua memang mudah berasa sakit, bisiknya dalam hati. Bagaimanapun, dia tidak pernah menyusahkan orang lain. Itu sudah dikira baik. Walau seringkali di tuduh gila, dia tetap akan menyangkalnya. Sebab jika dibandingkan dengan orang lain, mereka lebih gila. Kah! Kah! Kah! Kah! Ketawa berdekah-dekah.

“Gila…gila…. Oh!!! gila…gila….gila… oh!!! Gila …,” Ah Piau beredar sambil melagukan ungkapan ‘gila’ dalam rentak dangdut. Berlari-lari anak, kemudian berlari sekuat hati. Selaju yang mungkin umpama raja pecut dunia di lorong 100 meter. Setelah penat, memperlahankan langkah. Berjalan dan terus berjalan ke arah yang hanya dia seorang tahu.











majukan urang kita....


Ya!kadang2 toingat juga masa lalu bila nampak hasil lumayan para pomutung gata' sekarang ini....

time aku putung gata' (masa cuti sekolah dulu-dulu) harga songkilo baru RM1.40. untung la kalau dapat sakaping sehari, ini paling2pun sitanga' kaping saja (itupun kiiiicik, ringan lagi tu...)

dakat 2 bulan baru dapat RM30...paling2 bikin bili sitokin, kasut gata' (pakai pigi sikul), sama siikit buuk.

tapi', urang putung gata' sikarang, fuh! bukan alang2, 2 minggu' saja, 1 kali kasi turun gata' mau dakat RM1,000!

apa inda', barabis lah bah kasi abis tu duit di kadai, sampai kalason tu punggung talampau duduk. itu toukipun, silap sikit mau pakai itu bikin tutup idung sudah. Yang butul bukan sa mau kasi ungkit-ungkit untuk kasi malu urang kita bah! tapi untuk membangunkan yang totidur dibuai wangi duit gata'. kalau buli, kan bagus kita simpan itu duit untuk hal yang buli kasi perbaiki kohidupan di masa akan datang..... sondiriiii' juga yang untung...kan kan kan....

Monday, August 4, 2008

adakah???

duuulu kan...ada ini satu kadai gunting @ saloon bah!dua kali saja aku pigi ini kadai, lapas tu, ndak lagi aku pigi-pigi...mo tau kanapa???
haaaah...bogini cerita dia,kedua kali aku pigi lebih kurang dua bulan selepas kunjungan aku yang pertama kali untuk putung rambut. sedang duduk di kurisi yang pandai kasi baring-baring tu, itu tukang gunting yang sama tinguk2 lah rambut kau, turus dia bilang: "Astaga!sapa lah tukang gunting yang putung rambut kau dulu ni????turukkk butul!"
itu lah sabab kanapa sa ndak pigi lagi tu kadai....

ada lagi satu kali, ini kisah lain sudah....masa makan di sebuah kadai, aku nampak la satu urang bapa sama anak dia duduk mija sabalah. aku tinguk ingus anak dia kan nakalanggayat sudah bah! Bila bapa dia perasan aku tanampak ingus anak dia, diapun capat-capat lap pakai dia punya tunturu' @ jari, turus dia kasi masuk mulut tu budak jari yang dia kasi lap (ceh! dalam hati aku).
Aku ndak tahan, akupun kumpilin la sama dia..."Eh!kanapa ko kasi masuk tu jari yang ada ingus di mulut anak kau!?"
Bapa: "Ya lah!ndak da tisu tak kanlah aku kasi masuk mulut aku pulak! nah lah kalau kau marah butul indak tarasa ni ingus, ni! ada lagi malakat di jari saya, kau tamus lah!!!!
aku: (Sempredengstabpalestakronasikampastul) punya urang tua.....

Friday, July 18, 2008

sumandak Kuruak II


hah ini sumandak kuruak (Reynn) masih dalam aktiviti ke pantai.... dia ni mimang suka ke pantai....jalan2 dan mengembara.
kicik kicik macam ni....tapi dia suka cari kawan.
dia fasih berbahasa Dusun.... dan boleh berbahasa Malaysia...

Tuesday, July 15, 2008

Sumandak Kuruak modsinding

buah pulutan di luar pagar

ambik sisiit tulung julukkan

aku budak kiiici' baru balajar

kalau salah salah tulung tunjukkan....

Sumandak Kuruak

ini ialah Sumandak Kuruak (Reynn), umur 2 tahun....baru belajar nyanyi2....

Monday, July 7, 2008

kandawai 98'


Selain nyanyi aku sebenarnya minat lukis jugak... pas tu, ini adalah antara lukisan yang aku paling suka...kononnya wajah aku lah ba ni...

Sunday, July 6, 2008

kita kongsi-kongsi-Kandawai Forever....

KEPADA semua kawan-kawan...kalu berkesempatan jenguk-jenguk blog aku ni...mbah ngamlah! saja bah ini...manatau ada perkembangan terbaru so buli gak kita kongsi-kongsi kan....selamat berkenalan

Saturday, July 5, 2008

Sekitar Kaamatan Pertisa

Memang meriah kaamatan pertisa...!!!